HOME PHOTOTHERAPY SERVICES SDN BHD menawarkan perkhidmatan penyewaan alat fototerapi mudah-alih BLUE LITE untuk merawat bayi anda yang mengalami jaundice (sakit kuning) di rumah di dalam keselesaan rumah anda.
Kami akan menghantar dan memasang alat tersebut di rumah anda.
Kami juga akan memberi khidmat-nasihat tentang penjagaan dan keselamatan bayi anda semasa rawatan tersebut.
Penggunaan alat ini adalah sangat mudah.
Bayi yang mengidap penyakit ini akan kelihatan kuning pada kulit dan matanya disebabkan oleh tahap bilirubin yang tinggi di dalam darah.
Bilirubin dalam keadaan normal diproses melalui hati dan dinyahkan melalui usus sebagai bile.
Pada pesakit jaundice, peningkatan tahap bilirubin adalah lebih cepat daripada ianya dapat diproses dan disalurkan keluar oleh hati bayi.
Kadar bilirubin yang terlalu tinggi dalam darah boleh menyebabkan pekak dan kecacatan otak (cerebral palsy).
Adalah dianggarkan bahawa sehingga 60% bayi mengidap penyakit ini dan 10 - 20% memerlukan rawatan.
Pemakanan, gaya hidup dan persekitaran selalu dikaitkan sebagai sebab-sebab berlakunya keadaan ini.
Pada awal abad ke-20, para doktor di sebuah hospital di bandaraya London, mendapati bahawa bayi-bayi yang diletakkan bersebelahan dengan tingkap dan mendapat cahaya matahari menunjukkan kadar penyembuhan yang lebih baik.
Dari hasil penyelidikan tentang kesan teraputik cahaya matahari ke atas penyakit jaundice, didapati bahawa gelombang biru (blue spectrum) yang terkandung di dalam cahaya matahari adalah komponen yang paling efektif untuk merawat sakit jaundice.
Hasil penyelidikan tersebut telah disiarkan di dalam sebuah jurnal perubatan British, The Lancet pada 1958.
Berikutan itu, para pengilang telah mula menghasilkan lampu khas warna biru dikenali sebagai 'Bilirubin Light'.
Dengan itu lahirlah kaedah rawatan fototerapi moden.
Mengikut kaedah tersebut, bayi diletakkan di bawah sinaran cahaya biru dan cahaya biru perlu mengenai sebanyak mungkin kulit bayi.
Sehingga kini, fototerapi adalah kaedah yang paling meluas digunakan untuk rawatan jaundice.
Berfototerapi di rumah bukanlah satu konsep baru dalam amalan rawatan jaudice.
Ianya telah diamalkan selama lebih dari 20 tahun di Amerika Syarikat dan telah diterima pakai oleh para doktor.
Kini buat pertama kalinya di Malaysia, anda juga boleh merawat bayi anda di dalam suasana selasa di rumah dengan alat BLUE LITE™ kami.
Setelah mendapatkan persetujuan doktor untuk merawat bayi anda di rumah, hubungi kami.
Juruteknik kami yang terlatih, akan menghantar dan memasang BLUE LITE™ di rumah anda.
Jururawat kami pula, akan memberi nasihat tentang cara penjagaan bayi dan langkah-langkah yang perlu diambil semasa menjalani rawatan.
Semuanya mudah dilakukan oleh anda sendiri.
Cara Lebih Selesa -
Anda tentunya lebih tenang apabila berada di bilik tidur sendiri bersama bayi anda.
Kebebasan berinteraksi dengannya dan ahli keluarga yang lain tidak dapat anda kecapi jika menjalani rawatan di hospital.
Belaian serta kemesraan ibu dan bayi pada peringkat awal ini adalah amat penting dalam perkembangan psikologi anak-anak.
Penyusuan ibu yang diakui semua sebagai sumber terbaik makanan bayi akan menjadi lebih mudah apabila bayi berada sebilik dengan anda.
Selamat Dan Berkesan -
Produk BLUE LITE™ telah direka dan dicipta oleh jurutera-jurutera kami untuk menepati dan mengatasi syarat-syarat keselamatan dan perubatan. Rekaan BLUE LITE™ yang sangat inovatif dan berkesan telah mendorong kami memohon satu paten hakcipta untuknya. Kami percaya BLUE LITE™ adalah produk yang paling berkesan dan praktikal untuk rawatan di rumah.
Pilihan Yang Menjimatkan -
Jika anak anda sebelum ini pernah menghidapi penyakit kuning, anda tentunya sedar akan kos perubatan untuk merawatinya.
Bergantung kepada tahap pusat perubatan yang anda langgani, peningkatan RM1,500 ke RM3,500 kepada kos keseluruhan bersalin adalah anggaran yang sederhana untuk rawatan selama 4 ke 7 hari.
Perbelanjaan untuk berfototerapi di rumah sebaliknya adalah dalam lingkungan satu perempat ke satu pertiga daripada ini termasuk kos pemeriksaan harian oleh pakar pediatrik dan ujian bilirubin.
Berfototerapi Di Rumah Sebagai Rawatan Lanjut Kepada Rawatan Hospital -
Mungkin juga anak anda telah pun dirawat di hospital tetapi doktor masih menasihatkan rawatan fototerapi sehingga bacaan bilirubin turun ke tahap yang lebih rendah.
Unit kami adalah paling sesuai kerana ianya boleh dipasang segera di rumah anda, tidak memerlukan ruang yang banyak dan mudah diguna.
- Elakkan Suhu Yang Terlalu Tinggi
BLUE LITE dicipta supaya bayi tidak mengalami suhu yang tinggi semasa berada di bawah lampu.
Walaupun begitu, pastikan bilik anda mendapat kitaran udara yang baik sekiranya tidak berhawa dingin.
Jika anda mengesyaki bayi anda terlalu panas atau pun terlalu sejuk, dapatkan bacaan sebenar dengan mengambil suhu badannya.
Tutup Mata dan Kemaluannya
Mata bayi anda hendaklah sentiasa ditutup semasa berfototerapi.
Jururawat kami akan menunjukkan cara bagaimana hendak melindungi mata bayi anda dengan peralatan yang disertakan.
Walaupun tiada bukti bagi menunjukkan bahawa lampu fototerapi memberikan kesan sampingan ke atas organ pembiakkan manusia, telah menjadi amalan untuk menutupnya dengan lampin.
- Keselamatan Elektrik dan Kestabilan Alat
Sentiasa pastikan sambungan BLUE LITE kepada punca elektrik berada di dalam keadaan yang baik.
Alat fototerapi hendaklah diletakkan di atas tempat yang stabil, tidak sibuk serta mudah bagi anda untuk memantaunya.
- Pastikan Pengambilan Air Yang Mencukupi
Kehilangan air (dehydration) dan juga pengeluaran najis adalah perkara biasa semasa menjalani fototerapi.
Anda hendaklah memastikan bayi anda dapat mengganti kehilangan air dengan penyusuan yang kerap.
Adalah lebih baik jika anda merekodkan berat badan bayi anda sebelum menjalani rawatan.
Kehilangan berat badan hendaklan tidak melebihi dari 10% dari berat badan asal.
- Periksa dan Alihkan Badan Bayi Anda
Alihkan badan bayi anda sekurang-kurangnya dua jam sekali - di antara berbaring dan meniarap.
Di samping dapat mengurangkan ketidakselesaan yang mungkin dihadapi oleh bayi anda, amalan ini juga dapat meningkatkan lagi permukaan yang menerima sinaran lampu fototerapi.
Buat pemeriksaan yang menyeluruh terhadap badan bayi anda.
- Temujanji dengan Doktor Hendaklah Dipatuhi
Rawatan fototerapi di rumah adalah kerjasama di antara tiga pihak iaitu kami sebagai pembekal alat, doktor dan juga anda.
Kaedah rawatan di rumah diteruskan dan dihentikan atas nasihat doktor anda.
Bayi anda mungkin kelihatan kuning tetapi tidak memerlukan rawatan fototerapi lagi atau pun sebaliknya.
Oleh itu, berjumpalah dengan doktor anda seperti yang telah ditetapkan olehnya.
- SOALAN:
Bolehkah saya jemurkan anak saya sebagai ganti pada fototerapi dan masih mendapat kesan yang sama?
Di negara ini banyak cahaya matahari dan ianya percuma.
JAWAPAN: Walaupun kadar sinaran pada jemuran matahari sangat tinggi, anda tidak dapat mengawal keadaan persekitaran seperti panas terik serta komponen ultra ungu yang membahayakan.
Anda tidak boleh berfototerapi di bawah sinaran matahari yang terik untuk waktu yang lama.
Anda juga tidak dapat berfototerapi semasa hari hujan dan waktu malam.
Lazimnya ibubapa hanya menjemurkan anak hanya pada awal pagi.
- SOALAN:
Bagaimanakah HPS yakin bahawa unit lampu fototerapi yang disewakan benar-benar berkesan untuk penyakit kuning?
JAWAPAN: Ciri-ciri yang perlu ada pada lampu fototerapi yang baik memang telah lama dikaji selidik dan disebarkan melalui penulisan.
Ini termasuk gelombang cahaya yang betul, penyelubungan cahaya yang maksimum pada kulit bayi dan kadar sinaran yang tinggi dan sesuai.
Kami hanya perlu membuat sedikit pembaharuan untuk menghasilkan sesuatu yang unik.
Berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami, para jurutera kami telah mereka dan mencipta BLUE LITE untuk menepati dan mengatasi piawan keselamatan dan perubatan yang sedia ada.
Pembaharuan yang diserapkan di dalam pembuatan produk BLUE LITE amat memberangsangkan dan kami percaya ianya adalah lampu fototerapi mudah alih yang paling praktikal dan berkesan yang pernah dicipta.
Dapatkan persetujuan doktor anda.
Ikut nasihat doktor untuk anak anda dibawa menemuinya.
Selepas itu, berhubung dengan kami untuk mendapatkan perkhidmatan yang professional.
Untuk menghubungi kami, sila telefon:
| Waktu Pejabat: Isnin - Jumaat (9.00pg - 5.00ptg) Sabtu (9.00pg - 1.00tgh) |
03-7957 8137 |
| Selepas Waktu Pejabat |
012-395 1311 |
| KADAR HARGA |
| A |
Penghantaran, Pemasangan dan Pengambilan Balik Termasuk Bimbingan di Rumah oleh Jururawat/Juruteknik |
RM80.00 |
| B |
Sewa Harian |
RM50.00/sehari |
| C |
Wang Cagaran |
RM300.00 |
Anda perlu membayar (A) dan (C) di atas apabila alat siap dipasang dan serta sejumlah kecil untuk barang-barang pakaibuang seperti penutup mata dsb.
Jangka masa sewaan minima adalah tiga hari.
Anda perlu menandatangani borang persetujuan bermaklum.
Sebuah risalah kecil menerangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan akan diberi pada anda.
Jika anda sedang menanti kelahiran anak dan ingin menggunakan kaedah ini sekiranya anak anda berpenyakit kuning, pilihlah pakar pediatrik di hospital pilihan anda yang bersikap terbuka dengan kaedah rawatan di rumah dan sanggup memeriksa anak anda di klinik sebagai pesakit luarnya.
Sekiranya dia tidak mengenali kami, anda boleh memaklumkan kepadanya akan produk dan perkhidmatan kami.
|